THINAGESWARAN mengaku salah atas pertuduhan, semalam.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang sami dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan mencederakan seorang wanita dan anaknya menggunakan rotan, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhi hukuman itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Jasin sebelum ini terhadap tertuduh, VK Thinageswaran, 30.

Thinageswaran, sami di sebuah kuil di Jasin dijatuhi hukuman denda RM10,000 bagi dua pertuduhan (RM5,000 setiap pertuduhan) oleh Mahkamah Majistret Jasin pada 31 Oktober tahun lalu atas tuduhan mencederakan pembantu rumah dan anaknya.

Pihak pendakwaan bagaimanapun merayu terhadap hukuman itu.

Tertuduh didakwa mencederakan budak lelaki berusia empat tahun itu menggunakan rotan kira-kira jam 2 petang antara 10 Disember 2013 hingga 23 Disember 2013.

Tertuduh turut didakwa mencederakan ibu kanak-kanak itu, VA Poongkhothai, 33, menggunakan rotan, jam 2 petang pada 23 Disember 2013.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Ria, Kesang Pajak di sini.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguambela RK Bala memohon mahkamah mengekalkan hukuman denda yang dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor mangsa iaitu wanita dan kanak-kanak, selain tertuduh mengabaikan tanggungjawab sebagai majikan yang sepatutnya melindungi pekerjanya (pembantu rumah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:40 AM