PONDOK yang menjadi tempat tinggal keluarga berkenaan. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Poliana Ronnie Sidom

TIDUR bersesak dalam pondok, selain terpaksa berlari ke darat apabila angin kencang kerana bimbang pondok ranap.

Itu kesukaran terpaksa dilalui Imbran Kumit, 68, dan isterinya, Darmata Miri, 64, bersama tiga anak dan 11 cucu selepas rumah mereka di perkampungan atas air Kampung Sim-Sim, di Sandakan, roboh, Jun lalu.

Ketika ditemui, Imbran berkata, dia mengambil inisiatif membina pondok selepas permohonan mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak untuk membina semula rumah menemui jalan buntu.

Katanya, kediamannya yang roboh pada Jun lalu adalah rumah kedua dibina 18 tahun lalu menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kos RM60,000.

“Sekarang saya cuma mampu mengharap bantuan anak tetapi tak boleh 100 peratus kerana masing-masing sudah ada keluarga dan mempunyai tanggungjawab sendiri.

“Untuk menyewa rumah, agak sukar untuk kami yang tiada pendapatan. Tambahan lagi, cucu semua bersekolah di sini dan jika pindah ke tempat lain, mungkin ia meningkatkan perbelanjaan,” katanya.

Imbran bersama cucunya. FOTO Poliana Ronnie Sidom

Dalam kejadian 1 Jun lalu, rumah Imbran yang terletak di Jambatan 11 dan didiami bersama 28 termasuk isteri, anak, menantu serta cucu roboh akibat dipukul ombak selepas hujan lebat berterusan, jam 3.30 pagi.

Tinjauan mendapati pondok didiami Imbran dan keluarganya dibina berhadapan dengan lot bekas rumah yang roboh dengan panjang enam meter dan lebar tiga meter.

Imbran berkata, sejak pondok itu dibina sebulan selepas kejadian, sudah dua kali dinding yang cuma menggunakan papan lapis serta bumbung tercabut.

“Apabila ada ribut, kami lari ke darat biarpun pada waktu malam. Mahu bina rumah sendiri, kami tak mampu kerana harga bahan binaan terlalu mahal.

“Mahu cari sendiri kayu dalam hutan pun perlu ada kebenaran pihak berkuasa. Jika ada pihak sudi bantu beri tiang, papan lapis atau atap untuk bina rumah, kami amat bersyukur,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada beberapa agensi serta wakil rakyat yang menghulurkan bantuan selepas kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:44 AM