PEGAWAI TNB bersama anggota polis memotong bekalan elektrik di premis yang diserbu.
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Enam lagi premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini dipotong bekalan elektrik dalam operasi polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bermula jam 12.20 tengah hari hingga 2.40 petang itu menyasarkan premis yang pernah diserbu polis sebelum ini selepas dikesan terbabit dalam kegiatan perjudian haram.

“Operasi di sekitar Mergong, Alor Mengkudu, Jalan Datuk Kumbar dan Kuala Kedah itu diketuai Inspektor Darlveen Singh serta anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar.

“Aktiviti perjudian didapati berkurangan berikutan kekerapan serbuan dilakukan namun kita akan terus membuat pemantauan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya masih ada premis yang menjalankan operasi perjudian di daerah ini,” katanya.

Mohd Rozi berkata, pemotongan elektrik dilakukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Beliau berkata, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan aktiviti perjudian sama ada menggunakan mesin judi atau judi dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:48 AM