Shaiffulazhar Misri


TIDAK cukup dengan kesalahan dokumen perjalanan tamat tempoh dan salah guna lokasi permit kerja, 32 wanita asing dikesan menjadikan sebuah hotel bajet, bangunan lama dan rumah urut di Jalan Tun Ali, Melaka, sebagai lubuk aktiviti persundalan.

Aktiviti pelacuran wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun itu berjaya dihidu Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Jabatan Imigresen yang menyerbu tiga premis terbabit, sebelum menahan semua wanita warga asing berkenaan dan tiga lelaki dalam Ops Mega 3.0 dalam operasi malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi disertai seramai 22 anggota termasuk pegawai itu adalah hasil maklumat awam.

Beliau berkata, seramai 35 individu dengan tiga daripadanya lelaki, termasuk seorang warga tempatan diperiksa dalam operasi bermula dari 8.25 hingga 11.30 malam itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua wanita warga Vietnam, Laos dan Thailand berkenaan melakukan pelbagai kesalahan antaranya pasport tamat tempoh, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan lokasi permit kerja.

“Turut ditemui wang tunai RM20,000 di dalam laci kaunter dipercayai wang hasil daripada aktiviti pelacuran yang masih beroperasi di tiga premis terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mustafar berkata, tiga lelaki yang ditahan adalah penjaga dan pekerja di rumah urut berkenaan.

Beliau berkata, dua daripadanya warga Bangladesh dan seorang warga tempatan dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 7:31 PM
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan selepas dipercayai terrbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan ditahan sempena Ops Mega 3.0 di Jalan Tun Ali, Melaka, malam tadi. FOTO Shaiffulazhar Misri.