SEORANG kanak-kanak mencuba aktiviti yang disediakan di #mydigitalmaker Fair tahun lalu.
SEORANG kanak-kanak mencuba aktiviti yang disediakan di #mydigitalmaker Fair tahun lalu.
Siti Nurazlinee Azmi

Kuala Lumpur: Bagi mewujudkan modal insan bagi memenuhi keperluan industri 4.0, inisiatif #mydigitalmaker yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Kementerian Pendidikan, rakan industri dan akademik wajar diberi sokongan serta pujian.

Walaupun berdepan dengan cabaran besar, namun sejak dilancarkan dua tahun lalu, ia mula menampakkan impak positif meskipun masih banyak usaha perlu dilakukan.

Naib Presiden Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC Sumitra Nair, berkata inisiatif #mydigitalmaker adalah usaha untuk mewujudkan pencipta digital masa depan dengan mendedahkan golongan belia Malaysia kepada aspek kreatif dan inovatif teknologi digital.

Dengan kata lain, inisiatif itu bertujuan mentransformasikan golongan muda di Malaysia menjadi peneraju bidang digital yang semakin berkembang sebagai persediaan berdepan dengan kerjaya masa hadapan.

“Hari ini, inovasi digital adalah mencipta semula semua sektor dan mengubah landskap kerja. Bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di arena tempatan dan global, adalah penting untuk kita melengkapkan generasi muda dengan kemahiran digital supaya mereka bersedia pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara pertama
di ASEAN yang memperkenalkan kurikulum ini dalam sistem pendidikan negara dengan menjadikan United Kingdom (UK) sebagai contoh yang sudah mengintegrasikan pendidikan sains komputer di sekolah.

Inisiatif #mydigitalmaker mendekatkan pelajar untuk memahami bagaimana teknologi seperti pengkodan dan pembuatan 3D dapat memupuk minat serta kesedaran kepada mereka untuk meneroka, seterusnya merangsang idea baru dalam menghasilkan ciptaan inovasi digital.

Ini termasuk Kembara MyDigitalMaker yang menggunakan sebuah bas yang diubahsuai untuk dijadikan sebuah unit pembelajaran mudah alih.

“Bas khas yang mempunyai peralatan pameran pendidikan digital, akan menjelajah kawasan luar bandar termasuk bandar kecil untuk menunjukkan pelajar dan juga guru mengenai teknologi yang terbaru di alam digital.

“Ia kerjasama MDEC bersama-sama Yayasan PINTAR untuk memberi pendedahan kepada 100,000 pelajar di luar bandar dan kurang berkemampuan di Semenanjung,” katanya.

Sumitra berkata, mereka juga bertindak sebagai Digital Maker Hub yang memberikan pelajar satu lagi pilihan di luar sekolah untuk pergi dan meneroka dan mempelajari pelbagai alat digital.

“Pada masa ini terdapat 40 hub digital di seluruh negara, ada juga yang dihoskan syarikat swasta. Ibu bapa boleh pergi ke laman digital dan memilih hub yang mudah untuk membawa anak-anak mereka,” katanya.

Tahun ini MDEC sekali lagi membuat pameran inovasi, teknologi dan kreativiti, iaitu #mydigitalmaker Fair 2018 bertempat di Stadium Axiata, Bukit Jalil pada 29 dan 30 September ini.

Maklumat lanjut berkaitan #mydigitalmaker Fair 2018 boleh layari laman sesawang my.digitalmaker.com atau laman Instagram dan Facebook, #mydigitalmaker.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:24 AM