X
PELAJAR jurusan Kejuruteraan Mekanikal UTP bergambar selepas berjaya mencatatkan rekod dalam MBOR.
PELAJAR jurusan Kejuruteraan Mekanikal UTP bergambar selepas berjaya mencatatkan rekod dalam MBOR.
Shaarani Ismail

Seri Iskandar: Seramai 46 pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) membina anyaman bilah kayu terbanyak semalam.

Rantaian anyaman bilah kayu atau ‘stick bomb’ itu dibina menggunakan sebanyak 30,050 bilah kayu yang membentuk rantaian sepanjang 703.2 meter.

Bilah kayu itu dianyam menjadi bentuk ‘x’ mempamerkan tindakan berantai berdasarkan prinsip fizik hingga menghasilkan tenaga kinetik, mengambil masa selama kira-kira tiga jam untuk disiapkan bermula jam 12 tengah hari.

Pengesahan rekod diumumkan Pengurus Pejabat MBOR Lee Pooi Leng, selepas rantaian anyaman bilah kayu itu berjaya dilentik meskipun beberapa kali berdepan masalah teknikal.

Hadir sama, Prof Madya Dr Mokhtar Awang selaku Penasihat Program dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTP.

Lee berkata, apa yang menjadi kayu ukur adalah bagaimana anyaman kayu itu dibuat, berapa panjang ia berjaya dianyam dan berapa banyak bilah kayu yang digunakan serta mekanisme diguna pakai.

“Walaupun ada beberapa kali bilah kayu gagal dilentik, namun rekod yang diambil kira bukanlah cabaran dalam melentikkan bilah kayu, sebaliknya mekanisme, jumlah bilah, panjang serta teknik anyaman yang dibuat,” katanya.

 RANTAIAN anyaman bilah kayu atau 'stick bomb'.
RANTAIAN anyaman bilah kayu atau 'stick bomb'.

Beliau berkata, syarat yang ditetapkan MBOR adalah menggunakan sebanyak 20,000 bilah kayu dengan binaan anyaman sepanjang 500 meter, tetapi kumpulan pelajar berkenaan berjaya menggunakan 30,050 bilah kayu dengan binaan sepanjang 703.2 meter melepasi tahap ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah Projek Nur Shamilah Shadun Zubiar berkata, mereka sudah melakukan persediaan bagi membuat rekod berkenaan sejak awal Oktober tahun lalu dan mula membuat latihan bermula awal tahun ini.

Katanya, kumpulannya mengambil masa untuk memahirkan diri membuat anyaman bilah kayu berkenaan kerana ia perlu dilakukan dengan teliti.

“Ketika melakukan percubaan kami menggunakan 20,000 bilah terlebih dahulu dan selepas beberapa kali mencuba kami merancang untuk menambah jumlah bilah kayu hingga ia mencecah 30,050 bilah digunakan.

“Selepas kejayaan ini kami merancang untuk memecahkan rekod sedia ada dengan membina rantaian anyaman bilah kayu yang lebih banyak mungkin menggunakan 50,000 atau 60,000 bilah yang akan membina rantaian lebih panjang,” katanya.

Rekod berkenaan adalah rekod MBOR kedua dilakar pelajar UTP selepas berjaya membina mesin great ball contraption terpanjang di negara ini pada April tahun lalu.

LEE (dua dari kiri) menyerahkan sijil MBOR kepada Nur Shamilah (kanan) berikutan kejayaan membina rantaian anyaman bilah kayu pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal UTP.
LEE (dua dari kiri) menyerahkan sijil MBOR kepada Nur Shamilah (kanan) berikutan kejayaan membina rantaian anyaman bilah kayu pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal UTP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:35 AM