KEADAAN kereta polis berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my

SUAMI isteri cedera selepas kereta dinaiki berlanggar dengan kereta peronda polis dan sebuah kenderaan lain di simpang lampu isyarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ( KKIA), Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, pasangan yang menaiki Perodua Myvi, berusia 33 dan 39 tahun dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Pemandu kereta peronda polis dan kereta Proton Gen 2 tidak mengalami kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rahman berkata, siasatan mendapati kemalangan itu membabitkan tiga kereta termasuk sebuah kereta peronda polis.

“Siasatan awal mendapati, kereta peronda dipandu anggota polis dari Kota Kinabalu menuju ke Jalan Lintas di kawasan rondaan Zon 2.

“Sebaik tiba di lampu isyarat KKIA, tiba-tiba sebuah Perodua Viva berhenti secara mengejut namun pemandu peronda polis sempat mengelak ke kiri jalan lalu berpusing dan terbabas ke jalan bertentangan sebelum melanggar dua kereta.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi cedera dan dibawa menaiki ambulans ke HQE untuk rawatan lanjut," katanya, hari ini.


MANGSA yang cedera. FOTO Ihsan Pembaca

George berkata, pemandu kereta peronda berusia 30 tahun dan pemandu Proton Gen 2 iaitu wanita berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Perodua Myvi hanya cedera ringan manakala suaminya cedera di muka dan masih menerima rawatan di HQE.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 5:04 PM