Caption<
Mohd Anwar Patho Rohman


TAN Sri Mohd Isa Abdul Samad berdepan tindakan dipecat daripada UMNO jika meneruskan keputusan bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, perkara itu termaktub dalam perlembagaan parti dan terpakai kepada semua ahli tanpa mengira kedudukan mahupun jawatan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan disiplin termasuk memecat Mohd Isa bergantung kepada keputusan pucuk kepemimpinan parti dan Lembaga Disiplin.

“Pertama, kita ucapkan selamat berjaya kepada Tan Sri Isa jika betul beliau hendak bertanding dalam PRK Port Dickson.

“Ia mungkin keputusan peribadi beliau dan tidak ada kena mengena dengan parti. Akan tetapi mana-mana ahli yang menjadi calon bebas, secara automatik keahliannya terlucut. Itu memang dalam perlembagaan.

“Tetapi, kini UMNO sudah kalah dan jadi pembangkang, mungkin parti berubah pendekatan, kita tidak tahu. Terpulang kepada kepada keputusan pucuk pimpinan menentukan kedudukan Mohd Isa,” katanya sebelum menghadiri mesyuarat khas MKT UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mohd Isa yang dilaporkan mahu bertanding atas tiket bebas dalam PRK itu.

Mohd Isa dilaporkan berkata, keputusan bertanding atas tiket bebas dibuat selepas UMNO membuat keputusan memboikot PRK berkenaan.

Barisan Nasional (BN) sebulat suara memboikot PRK itu dengan tidak meletakkan calon.

Beliau berpengalaman sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun mulai 1982 sehingga 2004.

Mohd Isa juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang dalam PRK pada 2009.

PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Parlimen Port Dickson pada Sabtu ini.

Berita berkaitan

Isa Samad tanding Bebas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 10:13 PM