Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my

HASRAT murni seorang petani membantu seorang lelaki yang mengalami kerosakan kereta bertukar tragedi selepas disamun di Jalan Bukit Kelawar, di Lawas, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, lelaki berusia 32 tahun menunggang motosikal bersendirian di laluan berkenaan sebelum ditahan suspek yang berdiri berhampiran Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tanpa berasa curiga, mangsa kemudian berhenti dengan niat untuk menghulurkan bantuan.

Beliau berkata, suspek mendakwa keretanya mengalami kerosakan dan meminta bantuan mangsa sekiranya dapat membantu.

“Sebaik mangsa mematikan enjin motosikal, muncul dua lagi lelaki dari kawasan semak berhampiran sambil mengacukan pisau.

“Suspek meletakkan pisau di perut dan mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya enggan menyerahkan wang dan barang berharga kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata, bimbang dicederakan menyebabkan mangsa akur dan menyerahkan wang tunai RM350 dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM4,000 kepada suspek.

Katanya, tanpa berlengah, suspek terus melarikan diri menaiki kereta meninggalkan mangsa dalam keadaan terpinga-pinga di lokasi.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

“Polis kini giat mengesan suspek yang juga warga tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 11:56 AM