Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, dia bersama beberapa penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dipanggil oleh seorang pegawai atasan dan diberi amaran supaya tidak memberi keterangan yang memihak kepada tertuduh dalam kes kematian Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Penuntut tahun ketiga jurusan Pengurusan Sumber Manusia, Ahmad Senabil Mohamad, 22, ketika sesi soal balas, bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad bahawa mereka dipanggil selepas pihak atasan tidak berpuas hati dengan keterangan diberikan seorang penuntut bernama Muhammad Izzul Akhtar Rosli, 22, di mahkamah.

Dalam keterangannya juga, saksi ke-24 itu memberitahu, sebelum perbicaraan kes itu bermula di mahkamah, dia dan beberapa penuntut lain dipanggil oleh pegawai penyiasat polis tentera untuk diambil keterangan mengenai kes itu.

“Kami semua dipanggil pada tarikh yang sama dan proses mengambil keterangan dijalankan serentak dalam sebuah bilik,” katanya.

Ahmad Senabil memberi keterangan itu pada hari ke-15 perbicaraan kes kematian Zulfarhan Osman.


BAPA mangsa, Zulkarnain Idrus hadir pada perbicaraan kes bunuh anaknya di Mahkamah Tinggi, semalam.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 25 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:06 PM