ANGGOTA bomba membuang tanah yang menutup sebahagian laluan di Kampung Pangsun, Sungai Manggis.
Nurul Hidayah Bahaudin

Hulu Langat: Penduduk Kampung Pangsun, Sungai Manggis di sini, terputus hubungan apabila cerun setinggi lebih 15 meter runtuh dan menutupi jalan utama di kawasan itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.22 petang semalam.

“Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku runtuhan tanah daripada cerun bukit berhampiran,” katanya.

Mohd Rizal berkata, anggota bomba bertindak membuang tanah yang menutup sebahagian laluan di lokasi kejadian.

“Tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:20 PM