GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

PERBUATAN suami isteri melarikan kereta milik wanita warga emas di sebuah kedai makan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam, mengundang padah apabila ditahan polis, selepas enam jam melakukan jenayah itu.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, suspek berusia 35 dan 40 tahun itu ke kedai mangsa berusia 70-an untuk menjual tong gas, namun wanita terbabit menolak tawaran itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek tiba-tiba bertindak masuk ke dalam kedai dengan lelaki itu mengacu pisau ke leher mangsa, sementara isterinya mengambil wang tunai RM250, telefon bimbit dan kunci kereta.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan Perodua Myvi milik mangsa yang diletakkan di hadapan kedai.

“Mangsa tampil membuat laporan polis dan satu pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menjalankan risikan mengesan suspek.

“Suspek yang bersembunyi di sebuah hotel, di Alor Setar, kemudian ditahan 11.45 pagi dan turut ditemui bekas kecil mengandungi tiga bungkusan plastik lut sinar dipercayai heroin seberat 3.2 gram,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, barangan peribadi mangsa turut ditemui semula termasuk keretanya.

Malah, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 2:57 PM