MGR Suresh Vasu menarik perhatian orang ramai di sekitar pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
cnews@gmail.com


KEMUNCULAN pelakon drama Tamil tanah air mencuri tumpuan ramai di sekitar pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, hari ini apabila tampil dengan identiti pelakon lagenda filem Tamil MGR.

MGR Suresh Vasu Pillay, 50, berkata dia datang dari Petaling Jaya, Selangor kerana mahu memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah 10 tahun saya menggayakan penampilan MGR, mungkin kerana minat mendalam terhadap pelakon lagenda India itu, maka ibu saya letak nama MGR pada pangkal nama saya.

“Saya hadir sekadar mahu memeriahkan suasana proses penamaan calon hari ini,” katanya ketika ditemui.

Katanya, dia mempunyai banyak pakaian ala MGR yang dibelinya di India kerana tidak dijual di negara ini.

“MGR suka warna terang dan berwarna warni. MGR juga adalah pelakon yang sering mendapat tunjuk ajar kawan baiknya, (Tan Sri) P Ramlee.

“Saya difahamkan mereka selalu berhubung dan bagi saya, MGR adalah lagenda filem Tamil yang perlu dikenang seperti P Ramlee.

“Saya teruja apabila mendapat perhatian ramai orang yang mahu bergambar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 2:26 PM