Murni Wan Omar


SULTANAH Terengganu, Sultanah Nur Zahirah sudah mengemukakan surat tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi RM300 juta terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berhubung dakwaan fitnah konspirasi Terengganu Investment Authority (TIA) dan Low Taek Jho.

Peguam Datuk Mohd Haaziq Abdullah berkata, Clare mempunyai tempoh lapan hari bermula Khamis lalu untuk menarik balik dan mengemukakan pernyataan maaf dengan syarat yang diluluskan oleh peguamcara Sultanah Nur Zahirah.

"Khamis lalu, surat tuntutan sudah disampaikan kepada Clare, penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

"Ini bagi menjaga integriti dan kepentingan baginda dan melindungi nama baik institusi keluarga Diraja Terengganu. Ia bukan kerana wang malah ganti rugi atau jumlah ganti rugi yang diberi mahkamah nanti akan didermakan sepenuhnya kepada badan kebajikan," katanya ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, tindakan undang-undang yang diambil tidak mempunyai kaitan dengan buku Clare berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Kami hanya memberi tumpuan kepada muka surat tiga buku itu yang mempunyai kenyataan bersifat fitnah.

"Kenyataan yang dikeluarkan dianggap fitnah kerana Sultanah Nur Zahirah tidak pernah pada bila-bila masa membabitkan diri dalam urusan pentadbiran kerajaan," katanya.

Mohd Haaziq berkata, Sultanah Nur Zahirah tidak pernah mebabitkan diri dengan penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan dana kekayaan berdaulat.

"Sultanah Terengganu juga tidak pernah menyokong Jho Low untuk beliau (Jho Low) mendapatkan peranannya sebagai penasihat di TIA.

"Malah Sultanah Nur Zahirah tidak pernah berjumpa atau mengenali Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho dan pengetahuan baginda mengenai beliau hanya berdasarkan laporan media," katanya

Beliau berkata, kenyataan Clare memberi kesan serta gambaran seolah-olah Sultanah terbabit dengan amalan rasuah.

"Ia seolah-olah memberi gambaran Sultanah Nur Zahirah bersekutu dan mempunyai hubungan rapat dengan individu yang dicurigai terutama Jho Low, seorang yang mempunyai reputasi sebagai lelaki yang suka berfoya-foya dan dikehendaki pihak berkuasa.

"Ia juga memberi gambaran Sultanah Nur Zahirah dapat mempengaruhi pentadbiran negeri Terengganu. Kenyataan oleh Clare adalah tidak dijustifikasi, tidak berasas dan mempunyai elemen menghina," katanya.

Kesan daripada fitnah itu, Mohd Haaziq berkata, Sultanah Nur Zahirah mengalami penderitaan, malu dan kecederaan kepada reputasinya.

"Perkara itu disedari oleh Sultanah Nur Zahirah selepas membaca buku itu dan baginda memerintahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Terengganu, Mohd Azmi Mohamad Daham membuat laporan polis pada 14 September lalu.

"Sultanah Nur Zahirah merasa tertekan, sedih dan terluka dengan kenyataan berniat jahat itu," katanya.

Tambah Mohd Haaziq, selain tuntutan ganti rugi RM100 juta daripada setiap pihak, permohonan maaf, penarikan balik yang jelas secara bertulis dan didedahkan kepada awam perlu dibuat.

"Beliau (Clare) perlu memberi suatu akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan itu.

"Clare, penerbit dan pencetak diberi tempoh lapan hari dari tarikh yang sama untuk berbuat demikian. Dua syarikat itu juga dikehendaki menarik balik buku yang mengandungi pernyataan fitnah itu," katanya.

Berhubung permohonan maaf yang dikemukakan oleh Clare di portal Sarawak Report, Mohd Haaziq berkata, pihaknya tidak menerima permohonan itu.

"Ia bukan mengikut terma yang kami tuntut. Saya mahu tegaskan kenyataan permohonan maaf ini hanya keluar apabila kami memulakan tindakan undang-undang ini," katanya.

Turut hadir, Mohd Azmi dan barisan peguam iaitu Datuk Suraj Singh, S Punitha, Mohd Hilmi Sarbini, SAK Vishu Kumar, Tan Jiin Hock dan S Manisha.

Clare didakwa membuat kenyataan memfitnah di dalam buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose yang mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta skandal 1MDB.

Buku itu didakwa menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB oleh Clare yang dilancarkan pada 8 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 6:37 PM