ANGGOTA polis memeriksa lesen penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN remaja berusia 16 tahun berlumba motosikal sebanyak empat pusingan bersama sebuah lagi motosikal di Jalan Padang Garam, Alor Setar, mengundang padah apabila ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan, semalam.

Remaja terbabit yang menunggang motosikal Modenas Kriss warna hitam itu ditahan selepas dia berhenti di simpang keluar ke Jalan Kampung Sungai Dua, di sini, pada 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bermula 4 petang hingga 11 malam itu membabitkan seorang pegawai dan enam anggota polis trafik dibantu tujuh anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) menjalankan operasi di sekitar daerah ini.

Menurutnya, ketika operasi itu, pihak polis mengesan dua motosikal Honda EX5 dan Modenas Kriss sedang berlumba sebanyak empat pusingan.

“Anggota yang membuat pengecaman kemudian menahan seorang daripada penunggang terbabit ketika dia berhenti di tepi simpang.

“Motosikalnya kemudian disita dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, selain itu, sebanyak 131 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik membabitkan pemeriksaan 74 kereta, 28 motosikal, lima lori, empat van, sebuah teksi dan 18 pacuan empat ronda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 7:42 PM