ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta yang terbabit dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 206.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Alor Gajah, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nurul Fhatihah Zakinan


SEORANG lelaki maut, dua parah dan empat cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 206.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Alor Gajah, hari ini.

Dalam nahas membabitkan lima kenderaan pada 1.30 pagi itu, dua kereta terbakar 100 peratus, namun tiada mangsa yang rentung.

Mangsa yang maut, Khor Choon Poh, 32, memandu Proton Persona meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan di kepala manakala penumpangnya, Chiam Beng Soon, 34, dan penunggang motosikal pula parah dan kini dirawat di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Alor Gajah.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Deputi Superintendan Mohd Khairulzaman Ishak berkata, kemalangan itu membabitkan lima kenderaan iaitu kereta Proton Saga BLM dan Persona, Honda Insight, kenderaan pelbagai kegunaan (MPV) Nissan Grand Livina dan motosikal Honda EX5.

Beliau berkata, semua kenderaan dari arah sama iaitu Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

“Kereta Proton Pesona merempuh Proton Saga BLM yang melintang di lorong ketiga sebelum terbabas ke kiri melanggar Grand Livina yang berada di bahu kiri jalan.

“Kejadian berkenaan menyebabkan kedua-dua kereta Proton berkenaan terbakar. Bagaimanapun, semua pemandu dan penumpang sempat dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut sempat dikeluarkan orang awam dari Proton Persona dipandunya sebelum kereta itu terbakar.

Menurutnya, semua pemandu Honda Insight, Nissan Grand Livina dan Proton Saga BLM bersama penumpang iaitu seorang wanita dan kanak-kanak berusia tujuh tahun serta penunggang motosikal Honda EX5 sudah dialihkan ke bahu kiri jalan selepas terbabit dalam kemalangan beberapa minit sebelum itu.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin, berkata, sembilan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 1.33 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami memberi rawatan awal kepada mangsa cedera. Bantuan jentera tangki air disalurkan bagi melakukan kerja memadam kebakaran dan operasi selesai dalam tempoh sejam setengah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 5:25 PM