CHE Azlina sedih melihat mayat Nur Qumaira Qistina selepas anaknya dijumpai lemas ketika mandi di Boardwalk Setiu., Permaisuri, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
CHE Azlina sedih melihat mayat Nur Qumaira Qistina selepas anaknya dijumpai lemas ketika mandi di Boardwalk Setiu., Permaisuri, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Helmy Abd Rahman


“SAYA sempat pesan jangan mandi jauh sangat, ‘last-last’ tak sampai lima minit saya paling ke belakang tengok mereka minta tolong,” kata Che Azlina Che Muda, 39, ibu Nur Qumaira Qistina Mohd Nizam, 12, yang ditemui lemas di Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap, Permaisuri, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, dua murid perempuan Tahun Enam iaitu Nur Qumaira Qistina dan Nor Hafizatul Nabihah Mohd Jaffar ditemui lemas.

Dua lagi rakan mereka yang turut mandi bersama di lagun itu ialah Nur Aisyah Syakira Ishak, 12, dan Ain Najihah Abdul Ghani, 12, kedua-duanya dari Kampung Rahmat, terselamat daripada lemas.

Che Azlina berkata, dia dan anaknya bersama tujuh yang lain tiba di kawasan perkelahan itu pada 9.45 pagi.

“Dia (Nur Qumaira Qistina) teruja sangat nak berkelah dan mandi sebab dia baru habis UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), jadi dia ajak kawan dia dua tiga orang.

“Mulanya mereka mandi di bahagian tepi saja dan saya pun larang dia pergi ke tengah, ‘last-last’ bila saya paling belakang, tengok kawan-kawannya minta tolong.

“Panik melihat keadaan itu saya segera menghubungi bomba untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Che Azlina berkata, dia tidak menyangka kegembiraan mereka datang berkelah di situ bertukar tragedi.

“Siapa lah yang sangka nak jadi begini. Niat kita nak menggembirakan anak dan rakan-rakannya yang baru tamat UPSR, tetapi Allah lebih menyayangi mereka. Saya reda,” katanya sayu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mustafa Ismail berkata, dua kanak-kanak perempuan yang lemas itu dipercayai sempat mencari kepah selepas mandi, sebelum terjatuh akibat dibawa arus dan tenggelam di laluan air.

Beliau berkata, ketika kejadian, terdapat anggota bomba yang sedang mencari kepah di kawasan sama dan terlihat insiden itu.

“Anggota bomba berkenaan sempat menyelamatkan kanak-kanak yang cuba menyelamatkan rakan mereka yang lemas itu.

“Mangsa kemudian ditemui di dasar sungai pada kedalaman 30 kaki (9.14 meter) oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDM),” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mustafa berkata, mayat kedua-dua mangsa yang ditemui diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa yang terselamat turut dihantar ke Hospital Setiu manakala seorang lagi dikejarkan ke HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah), Kuala Terengganu.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada 12.45 tengah hari membabitkan lapan anggota bomba dari BBP Setiu dan enam PPDM dari Kuala Terengganu serta Besut.

“Kejadian hari ini adalah yang kedua dalam tempoh tidak sampai dua bulan di kawasan sama.

“Ramai tersalah anggap kawasan ini tidak dalam, tetapi sebenarnya ada lurah terhasil sebab arus air pasang dan surut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 6:06 PM