ZAKARIA memanjat pokok kelapa mengguna ‘beruk besi’. (Gambar kecil) Zakaria menunjukkan beruk besi yang digunakan untuk memanjat pokok kelapa. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


ALAT memanjat pokok kelapa atau lebih dikenali sebagai ‘beruk besi’ menjadi teman setia buat seorang lelaki di Kampung Baru Tetambah, Kuala Terengganu.

Ini kerana alat itu digunakan sepenuhnya untuk mencari rezeki sebagai pemanjat kelapa sejak 10 tahun lalu.

Uniknya, Zakaria Omar, 43, tidak mempunyai asas memanjat kelapa, tetapi melalui penggunaan beruk besi dicipta sepupunya pada 1992 itu, dia mampu memanjat lima hingga 10 pokok kelapa sehari untuk memetik buah kelapa.

Zakaria atau lebih mesra dipanggil Pok Ya berkata, selepas berhenti daripada bekerja di syarikat swasta di ibu kota pada 2008, dia pulang ke kampung dan menyambung pekerjaan sebagai pemetik kelapa daripada arwah datuknya, Chik Muda, 71, yang meninggal pada 2002.

“Saya buntu memikirkan pekerjaan apa boleh dilakukan di kampung sebelum mendapat ilham apabila menemui beruk besi yang pernah digunakan datuk untuk memanjat kelapa disimpan di rumah.

“Selama ini, saya memang sedia maklum datuk menggunakan beruk besi itu untuk memanjat kelapa, malah pernah beberapa kali mempelajari menggunakannya daripada datuk ketika pulang bercuti di kampung, cuma tidak terlalu mahir menggunakannya.

“Selepas sebulan berlatih menggunakan alat itu, saya berjaya mengendalikannya dan berasa bertuah kerana tidak mempunyai perasaan gayat ketika berada di tempat tinggi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pok Ya berkata, permintaan terhadap perkhidmatan memanjat pokok kelapa sangat tinggi dalam kalangan penduduk kampung dan khidmatnya pernah digunakan sehingga ke Setiu untuk menebang pokok kelapa.

Katanya, perkhidmatan menggunakan beruk besi tidak terhad hanya untuk memetik kelapa sahaja, tetapi untuk menebang pokok kelapa.

“Kaedah menebang pokok kelapa ini berbeza berbanding kaedah biasa digunakan orang ramai kerana saya menebang pokok kelapa bermula dari atas ke bawah, bukan tebang di pangkal pokok seperti kebiasaan dilakukan.

“Biasanya kadar upah dikenakan untuk menebang pokok kelapa bermula RM200 hingga RM250 sepokok bergantung kepada kesukaran dan ketinggian pokok kelapa berkenaan,” katanya.

Pok Ya berkata, pokok kelapa tertinggi pernah dipanjat menggunakan beruk besi itu ialah 20 meter dan aktiviti memanjat pokok kelapa mempunyai pelbagai risiko termasuk gigitan serangga berbisa.

Katanya, selain mengambil upah memetik kelapa dengan kadar upah 50 sen hingga 80 sen sebiji, dia turut menjalankan perniagaan menjual santan dari rumah ke rumah untuk memberi kemudahan kepada penduduk kampung mendapatkan santan segar tanpa perlu ke pasar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 11:24 PM