TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TUKANG rumah yang bakal berkahwin hujung bulan ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki wang palsu berjumlah RM500 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Muhamad Arif Zefri, 22 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G Ramesh.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Arif didakwa memiliki 25 not wang palsu RM20 bernombor siri CP8096167 di sebuah rumah di Kampung Tiong, Gemas, Tampin, 8.10 malam, pada 23 September lalu.

Muhamad Arif didakwa mengetahui wang dalam milikannya adalah palsu dan berniat menggunakannya sebagai sesuatu yang asli.

Dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak tidak menawarkan jaminan atas pertuduhan, namun memohon wang jaminan yang tinggi jika dia dibenarkan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan paling minimum dengan alasan akan berkahwin hujung bulan ini

Selain itu, dia mempunyai pendapatan bulanan yang tidak tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Air Kuning, Gemencheh, Tampin pada setiap Ahad minggu ketiga, setiap bulan.

Tertuduh bagaimanapun gagal menyediakan wang jaminan dan ditempatkan di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Kes disebut semula pada 1 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 2:42 PM