TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Hanneeyzah Bariah Baharin

AKIBAT mencuri Nescafe di sebuah pasar raya, seorang suri rumah dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Azlina Mamat, 41, dari Kampung Paya Keladi, Kuala Terengganu.

Nor Azlina mengaku salah mencuri tujuh bungkus Nescafe Classic 300 gram bernilai RM164.43 milik sebuah pasar raya, 4.20 petang, 26 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pengawal keselamatan ternampak wanita itu dalam keadaan mencurigakan.

Semakan melalui rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati wanita itu mengisi tujuh bungkusan Nescafe ke dalam trolinya.

Dia kemudian meninggalkan troli di situ dan keluar dari pasar raya berkenaan tanpa membuat pembayaran.

Wanita itu kemudian ditahan pengawal keselamatan berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 6:30 PM