POLIS merampas 240kg ganja dari dalam kereta Toyota Vios yang terbabas manakala pemandunya melarikan diri dalam kejadian di Jalan Kampung Kuala Lanjut, Kubur Panjang, Pendang, hari ini.
Wartawan NSTP


POLIS merampas enam bungkusan dadah disyaki ganja seberat 240 kilogram (kg) dan menahan empat lelaki sementara seorang lagi masih diburu selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Kampung Kuala Lanjut, Kubur Panjang, Pendang, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, anggota unit kereta peronda polis (MPV) sedang membuat pemantauan di kawasan Kedondong sebelum terserempak dua kereta iaitu Proton Waja dinaiki empat lelaki dan sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Bukit Pinang.

Menurut sumber, anggota MPV kemudian cuba menahan kedua-dua kenderaan terbabit, namun pemandu kereta Toyota Vios tiba-tiba terus memecut laju melarikan diri.

“Anggota polis terbabit meminta bantuan anggota MPV lain untuk mengejar kereta suspek sementara empat lelaki menaiki Proton Waja berjaya ditahan.

“Sebaik tiba di kawasan Jalan Kampung Kuala Lanjut, kereta Toyota Vios dipandu suspek hilang kawalan sebelum terbabas dan pemandunya bertindak keluar melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, pemeriksaan di dalam kereta itu menemui empat bungkusan berisi dadah disyaki ganja dianggarkan seberat 240kg.

“Siasatan mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah dari Jeti Kuala Perlis dan kereta Proton Waja dinaiki empat lelaki yang ditahan itu disyaki mengiringi kereta Toyota Vios itu.

“Usaha mengesan suspek yang melarikan diri kini sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:36 PM