Nor Azizah Mokhtar

RATUSAN kenderaan terperangkap dalam kesesakan luar biasa susulan banjir kilat yang berlaku di Kilometer (KM) 23.4 ke KM24 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah selatan, akibat hujan lebat, petang ini.

Difahamkan, kesesakan lebih 15 kilometer dilaporkan berlaku di kedua-dua arah laluan berkenaan susulan banjir kilat sedalam hampir satu meter itu.

Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) dalam kenyataan di Facebooknya memaklumkan, banjir dikesan 5.05 petang susulan hujan lebat bermula 4.30 petang.

“Siasatan awal kami mendapati kejadian banjir kilat itu disebabkan hujan yang terlalu lebat dengan taburan hujan mencecah 108.5 milimeter (mm).

“Kita mengambil langkah segera dengan mengarahkan Pasukan Kecemasan (ERT) ke lokasi untuk membantu pengguna yang memerlukan bantuan,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, katanya mulai surut 5.50 petang apabila dua lorong di lebuh raya berkenaan sudah boleh dilalui,

“Banjir surut sepenuhnya 6.07 petang dan kesemua lorong boleh digunakan,” katanya.


PENGGUNA jalan raya meredah banjir. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima laporan banjir kilat di tiga lokasi sekitar Puchong iaitu di Bandar Puteri Puchong, Jalan Puchong Besar berhampiran Puchong Commercial Centre dan Jalan Intan 2/8, Taman Puchong Intan.

Menurut jurucakapnya, bomba menghantar jentera dan anggota ke lokasi terjejas untuk memantau keadaan dan membantu pengguna jalan raya yang terperangkap dalam banjir kilat di tiga lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 8:18 PM
KEADAAN banjir berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca