LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai dakwaan Ravi Chandaran bahawa Najib menawarkan kepadanya RM3.5 juta supaya mengaku membunuh Kevin.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai dakwaan Ravi Chandaran bahawa Najib menawarkan kepadanya RM3.5 juta supaya mengaku membunuh Kevin.
Wartawan NSTP


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata dakwaan tertuduh ketujuh dalam kes pembunuhan Datuk Anthony Kevin Morais bahawa beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu, sebagai mengarut.

Menerusi entri di Facebooknya, Najib berkata, pada mulanya agensi berita nasional BERNAMA mengeluarkan artikel dengan menggunakan tajuk ‘Najib tawar RM3.5j jika mengaku bunuh Kevin Morais: Tertuduh’ dan artikel itu digunakan beberapa portal berita lain.

Beliau berkata, sudah tentu mereka yang tidak mudah terperangkap dengan hanya membaca tajuk sahaja, pasti akan mendapati sesuatu yang pelik selepas membaca sepenuhnya kandungan artikel itu.

“Terdapat 7 orang dituduh dalam kes pembunuhan ini.

Hanya orang kena tuduh (OKT) yang ke-7 tiba-tiba mendakwa saya menawarkan RM3.5 juta melalui seorang pegawai penjara yang tidak dinamakan untuk mengaku membunuh Kevin.

“Sebelum menuduh saya, OKT7 ini pernah menuduh adik kepada Kevin menawar RM2 juta kepadanya untuk mengaku membunuh Kevin.

“Sebulan sebelum itu, OKT7 turut mendakwa Dr Kunaseegaran yang turut didakwa dalam kes ini telah menawarkan RM1.5 juta bagi mengaku membunuh Kevin.

“Tuduhan OKT7 ini untuk melibatkan nama saya nampaknya sangat mengarut,” tulis Najib.

Najib berkata, sebenarnya pertama kali nama beliau dikaitkan dengan pembunuhan Kevin dibuat portal Sarawak Report yang mendakwa kononnya Kevin dibunuh kerana dia terbabit dalam penyiasatan kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) ataupun SRC.

Beliau berkata, pada masa itu, beliau menganggap tohmahan Sarawak Report itu amat mengarut kerana ramai yang terbabit dalam siasatan untuk setiap kes.

Katanya, tidak logik bahawa Kevin seorang yang dijadikan mangsa, tetapi ramai lagi yang menyiasat masih hidup, bukan?

“Oleh kerana pasukan propaganda Pakatan Harapan bekerja kuat dalam menanam kebencian terhadap saya, maka ramai termakan fitnah dan mempercayai saya terlibat walaupun tidak logik sama sekali.

“Untuk makluman orang ramai, pada akhir Mei lalu selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14), Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah menafikan tanggapan umum bahawa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd mahupun 1MDB. http://www.astroawani.com/…/kevin-morais-tidak-terlibat-kes…

“Ini secara sangat jelas telah mematahkan fitnah dan tohmahan Sarawak Report.

“Editorial BERNAMA agak nakal dengan menggunakan tajuk sensasi ala tabloid seperti itu dan nescaya mereka yang malas membaca akan terus percaya pada tajuk itu semata-mata,” katanya.

Sebelum itu, BERNAMA melaporkan tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Kevin mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini bahawa dia ditawarkan wang RM3.5 juta oleh Najib untuk mengaku bersalah membunuh Kevin.

S Ravi Chandaran, 47, turut mengakui bahawa tawaran itu dibuat melalui pegawai penjara kepadanya dan selain tawaran itu, dia turut menerima tawaran dari adik Kevin Morais sendiri iaitu Datuk Richard Morais untuk membuat pengakuan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 12:08 AM