Siti A’isyah Sukaimi dan Noor Atiqah Sulaiman


ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pada 10.42 pagi, hari ini.

Rosmah dilihat masuk ke perkarangan SPRM menaiki Proton Perdana dan diiringi satu lagi kenderaan.

Beliau yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda masuk ke lobi ibu pejabat SPRM dengan diiringi beberapa kakitangan suruhanjaya berkenaan.

Difahamkan, Rosmah disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

Ini kali ketiga beliau hadir memberi keterangan di sini dan difahamkan, mungkin kali terakhir Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah terhadap beberapa pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Tindakan memanggil beliau adalah bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Terdahulu, peguamnya, Datuk K Kumaraendran dilihat memasuki bangunan di sini 10.04 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 11:08 AM
DATIN Seri Rosmah Mansor tiba di bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 10.42 pagi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali