ANGGOTA tentera menguruskan mayat untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Poboya, Palu.  FOTO Reuters
ANGGOTA tentera menguruskan mayat untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Poboya, Palu. FOTO Reuters
Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Media sosial dan aplikasi WhatsApp menjadi medan penghubung utama antara netizen serta mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia bagi meminta bantuan.

Malah ada antara mereka menggunakan ruang itu bagi mencari ahli keluarga dan kenalan yang hilang tanpa dikesan.

Pengendali Facebook (FB) turut mengaktifkan pusat krisis tindak balas untuk mangsa di Palu dan Donggala menandakan diri mereka selamat.

Ia bagi membolehkan rakan FB mangsa mengetahui keadaan mereka yang terkesan dengan bencana itu dengan marked safe.

Facebook mula membangunkan ciri pemeriksaan keselamatan selepas melihat bagaimana orang menggunakan media sosial berikutan gempa bumi dan tsunami 2011 di Jepun.

Rata-rata mangsa menjadikan pusat krisis tindak balas itu untuk meminta bantuan makanan daripada pihak luar.

Seorang mangsa menggunakan nama di FB sebagai Kar Sono berkata, hingga saat ini mangsa di Lapangan Dayodara belum tersentuh (menerima) bantuan, banyak anak kecil kelaparan dan sukarelawan melihat hantaran posting ini mohon datang memberi bantuan.

Selain itu, pengguna FB Soegeng Lesta Wab memohon bantuan dihantar ke Posko BTN Lasoani Atas iaitu 15 khemah, 350 selimut, air bersih dan makanan.

Hingga kini, 1,234 mangsa meninggal dunia di Donggala dan Palu manakala 152 orang masih tertimbus di dua daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 1:00 PM