ZAHAIRI (tiga kanan) bersama Mohamed Jawhar (dua kanan), Abdul Jalil (tiga kiri), Amran Mahzan (empat kiri) dan Kyi Lwin (lima kanan) pada Majlis Penyerahan Pusat Kesihatan Luar Bandar Kyauk Tan di Sittwe.
Safeek Affendy Razali


SEMUA sumbangan rakyat Malaysia melalui tabung kemanusiaan 'Media Prima-NSTP Humanitarian Fund' dengan kerjasama Mercy Malaysia, yang dilancarkan sejak November 2016, disalurkan sepenuhnya, hari ini.

Dana berjumlah RM735,664.99 itu dikendalikan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Mercy Malaysia, bagi memberikan perkhidmatan kesihatan di sebuah pusat kesihatan utama dan sembilan klinik di sekitar daerah Sittwe.

Majlis penyerahan Pusat Kesihatan Luar Bandar (RHC) di Kyauk Tan, Rakhine, Myanmar, disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Zahairi Baharim, kepada Pengarah Kesihatan Negeri Rakhine, Dr Kyi Lwin.

Turut bersama-sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Lembaga Tabung Pemegang Amanah Media Prima-NSTP Humanitarian Fund, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Amran Mahzan.

Sebelum diambil alih sepenuhnya oleh Mercy Malaysia, pusat kesihatan atau RHC Kyauk Tan yang memberikan khidmat kesihatan kepada lebih 12,000 penduduk dari 12 kampung berada dalam keadaan serba daif dan kekurangan.

Namun hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia melalui kutipan tabung 'Media Prima-NSTP Himanitarian Fund' pusat kesihatan itu dibangunkan dengan dilengkapi pelbagai kemudahan oleh Mercy Malaysia.

Pusat kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari dengan dikendalikan oleh Mercy Malaysia dan NGO tempatan lain menyediakan perubatan kepada penduduk berhampiran, bayi dan kanak-kanak serta wanita.

Malah ianya juga adalah satu-satunya pangkalan kesihatan dikendalikan Mercy Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan Myanmar dan Kementerian Kesihatan.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Zahairi Baharim, sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban kepada semua penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama dan etnik khususnya di daerah Sittwe.

"Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, bantuan kemanusiaan disalurkan kepada semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan apa juga etnik, ianya adalah universal dan harus disasarkan kepada semua.

"Ianya juga sedikit sebanyak akan memberikan sokongan yang amat murni dalam usaha penyatuan terhadap mereka yang beragama Islam atau Buddha," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata pada masa ini kemudahan pusat kesihatan di sekitar daerah Rakhine yang mempunyai banyak kem penempatan sementara, masih kurang selain berada dalam serba kedaifan.

"Justeru kami menyokong sebarang usaha dari rakyat Malaysia yang ingin terus menyalurkan bantuan bagi menampung kemudahan di sini," katanya.

Deligasi Malaysia juga turut dibawa meninjau Hospital Daerah yang dikendalikan oleh Mercy Malaysia di Thet Kel Pyin dan Kampung Kaung Doke Khar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 5:34 PM