Veena Rusli; Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah
cnews@nstp.com.my

“SAYA adalah Port Dickson dan Port Dickson adalah saya.”

Tan Sri Mohd Isa Samad melihat perlambangan itu paling tepat menggambarkan dirinya yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, 13 Oktober ini.

Sebagai satu-satunya calon tempatan, beliau yakin memiliki kelebihan kerana dikenali ramai berikutan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dan Linggi di Port Dickson mewakili Barisan Nasional (BN).

“Saya jadi ADUN Linggi lima penggal dan ADUN Bagan Pinang (sepenggal) sebelum menjadi Ahli Parlimen Jempol. Berkhidmat lama di kawasan ini, hanya jadi Ahli Parlimen Port Dickson belum pernah.

“Dalam tinjauan mesra yang saya lakukan, ramai menegur kata sudah lama tidak nampak saya, jadi saya jelaskan sebelum ini saya menjadi Ahli Parlimen Jempol dan sekarang ingin kembali bekerja di Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama NSTP di Kampung Baru Si Rusa, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Isa mengakui terpaksa memberi penjelasan kepada penyokongnya mengenai tindakannya yang tidak lagi mewakili BN atau UMNO, sebaliknya atas tiket Bebas kerana bekas partinya memboikot PRK berkenaan.

“Saya kena jelaskan kepada banyak pihak tiada lagi simbol dacing pada nama saya, sebaliknya kini menggunakan simbol kerusi,” katanya.


Mohd Isa Abdul Samad masih meminati dan menggunakan kereta model lama sebagai kenderaan rasmi. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Mengenai kebimbangan utamanya, beliau mengakui kekhuatirannya ialah jika pengundi tidak keluar menunaikan tanggungjawab.

“Saya tidak bimbang perkara lain kerana saya ramai penyokong merangkumi ahli keluarga, saudara-mara, sahabat dan ahli UMNO, selain parti komponen BN yang lain.

“Cuma saya takut mereka fikir tak perlu keluar mengundi kerana PRK ini sebenarnya tidak mengubah apa-apa, siapa menang pun kerajaan tetap tak bertukar.

“Jadi antara tumpuan jentera adalah memastikan penyokong keluar mengundi,” katanya.

Mengulas dakwaan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa calon Bebas adalah ‘pengacau’ PRK Port Dickson, Mohd Isa membalas bahawa Ketua Umum PKR itu adalah ‘pengacau sebenar’.

“Kalau tanya orang Port Dickson, Anwar sebenarnya pengacau. Dia yang suruh Ahli Parlimen Port Dickson letak jawatan. Kalau tidak orang Port Dickson aman, orang dah bagi parti dia menang, dia buat begini pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 7:26 PM