Khalid Latip


“MAK, nanti kita berbual lagi... saya ada tugasan sikit,” kata Allahyarham Yahya Ali, 24, kepada ibunya, Halimah Geronggong, 42, sebelum melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lemas di bekas lombong tinggal berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi.

Difahamkan, anggota bomba yang ditemui lemas bersama lima lagi rakan setugasnya itu sempat menghubungi ibunya di Kampung Tian, Matu, Mukah untuk memohon restu.

Halimah ketika ditemui NSTP berkata, anak sulungnya itu ada menelefonnya untuk bertanya khabar, namun perbualan terakhir itu tidak lama sebelum arwah berjanji untuk menghubunginya semula selepas selesai tugasan.

“Dia memang rajin menelefon bertanya khabar saya dan suami, namun perbualan kami semalam tidak lama kerana saya juga ketika itu sedang sibuk memasak di dapur.

“Saya menunggu juga panggilannya malam tadi sehinggalah saya menerima perkhabaran yang anak saya terkorban dalam tragedi itu menjelang 12.30 malam tadi,” katanya.

Yahya bertugas sebagai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berpangkalan di Klang.

Halimah yang cukup tenang menerima takdir itu berkata, anak sulungnya daripada empat beradik itu adalah harapan keluarga dan seorang yang sangat rapat dengannya.

HALIMAH Geronggong, 42, (kanan) bersama suaminya, Ali Bengang, 53, menerima berita kematian anaknya dengan tenang dan redha di Kampung Tian Matu, Mukah. FOTO Khalid Latip

Apa yang paling menyedihkan katanya, kejadian itu berlaku ketika adik-adik yang lain sedang sibuk menghadapi peperiksaan penting.

“Hampir setiap hari dia menelefon bertanya khabar kami sekeluarga, begitu juga perkembangan pelajaran adik-adiknya. Malah, setiap kali selepas operasi dia pasti akan memaklumkan perkembangannya kepada saya.

“Memang saya tahu dia terbabit dalam operasi itu, namun saya hairan mengapa dia tidak menelefon hingga lewat malam sehinggalah saya diberitahu dia terkorban ketika melaksanakan misi itu,” katanya.

Menurut Halimah, arwah bercita-cita untuk menjadi anggota bomba sejak dari sekolah rendah kerana mahu membantu masyarakat, selain cukup mengagumi kerjaya itu.

Katanya, Allahyarham paling gembira selepas impiannya untuk menyarung pakaian seragam pasukan penyelamat itu tercapai.

“Kali terakhir dia pulang ke kampung pada 21 Julai lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Ketika itu, tidak ada sebarang perubahan malah, anaknya tetap ceria seperti biasa,” katanya.

Mengakui masih terkejut menerima berita kematian anaknya, Halimah berkata, dia tetap reda dan sabar dengan kejadian berkenaan.

“Sebagai insan biasa, kita tidak dapat menolak ketentuan Illahi... apa pun, kami sekeluarga berasa amat sedih kerana kehilangan insan yang kami sayang buat selama-lamanya,” katanya.

Berita berkaitan

Terkejut misi cari anak ragut nyawa bomba

Pilunya...

[UPDATE] Pusaran air disyaki punca bomba lemas [METROTV].

[UPDATE] Lemas lepas terbelit tali.

[UPDATE] 6 bomba lemas dikenal pasti.

[UPDATE] Enam bomba lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 9:14 AM
JENAZAH enam penyelam bomba yang lemas ketika mencari remaja yang dilaporkan terjatuh ke sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong semalam tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam untuk solat jenazah dan diberikan penghormatan terakhir. FOTO Saddam Yusoff