Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Kes membabitkan pengubahan wang haram dan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah diarah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, Hakim Datuk Azman Abdullah mengarahkan kes dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas membenarkan permohonan Muhammad Shafee yang diwakili peguam, Harvinderjit Singh.

Azman dalam keputusannya berkata, ia berikutan ada persetujuan antara kedua-dua pihak terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bagi pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, pihaknya tiada sebarang bantahan terhadap permohonan Muhammad Shafee untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi. Muhammad Shafee turut hadir di mahkamah, semalam.

Afzainizam ketika ditemui selepas prosiding berkata, surat daripada pihak pendakwaan yang tidak membantah permohonan itu dikemukakan kepada mahkamah pada 28 September lalu.


MUHAMMAD Shafee hadir untuk permohonan memindahkan kes pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, pada peringkat ini, semua pihak akan menunggu sebutan di Mahkamah Sesyen untuk memaklumkan perkembangan terbaru.

Mahkamah Sesyen kelmarin menetapkan 8 Oktober ini bagi sebutan kes itu.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak hasil aktiviti pengubahan wang haram dan membuat penyata tidak betul kepada LHDN.

Muhammad Shafee didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 11:03 AM