ANGGOTA bomba menunaikan solat jenazah ke atas enam jenazah anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
ANGGOTA bomba menunaikan solat jenazah ke atas enam jenazah anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Norrasyidah Arshad; Siraj Mohd Zaini; Teoh Pei Ying dan Ruwaida Md Zain


ENAM anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja hilang di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, malam semalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Hamdan Wahid berkata, walaupun keadaan gelap, aktiviti menyelamat tetap perlu diteruskan dan tiada had masa memandangkan ia berkait dengan nyawa seseorang.

Katanya, kejadian yang meragut nyawa enam anggota PPDA itu juga tidak membabitkan kaedah menyelam sebaliknya ia adalah kaedah menyelamat permukaan air.

“Dalam apa keadaan kecemasan yang berlaku, (menyelamat dalam gelap) adalah tidak sesuai.

“Jika kerja itu dirancang, kita boleh batalkan tetapi jika kerja membabitkan nyawa orang yang sedang dicari, mungkin ia perlu melihat kepada keadaan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Shah Alam, hari ini.

Mohd Hamdan berkata, kaedah menyelamat di permukaan air digunakan malam semalam berikutan anggota bomba percaya air tidak dalam dan hanya separas dada.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan kawasan berkenaan adalah tempat kawalan air banjir dan terjunan air itu mungkin menyebabkan seorang daripada mangsa tergelincir sebelum menarik lima mangsa lain.

“Kita sudah buat siasatan awal malam tadi (semalam) di tempat kejadian. Di kaki terjunan air itulah mereka membuat penyelamatan kerana percaya mangsa berada di situ.

“Ada batu (di dasar) sebagai tempat tujahan air. Seorang penyelamat tergelincir kerana memijak batu itu dan menyebabkan beliau bersama yang lain jatuh kerana mereka gunakan kaedah rantaian manusia yang ditetapkan.

“Kita dapati air tidak dalam, tapi kederasan air kuat disebabkan hujan lebat petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan satu lagi siasatan dalaman yang lebih terperinci berhubung kejadian itu.

“Kita juga akan memperbaiki SOP taktikal sebab perkara seperti ini bergantung kepada keadaan.

“Ini bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi,” katanya.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:03 PM