MUHAMMAD Abqari  (kiri) disatukan kembali dengan keluarganya.
MUHAMMAD Abqari (kiri) disatukan kembali dengan keluarganya.
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Selepas 48 jam terapung di laut, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dihanyutkan tsunami ditemui selamat oleh penduduk tempatan berhampiran pusat bandar di Palu, Sulawesi, Indonesia, Ahad lalu.

Mangsa, Muhammad Abqari Azzam Arsenio ditemui sedang berpaut pada sisa runtuhan rumah neneknya yang musnah akibat tsunami sebelum dia dihanyutkan ke laut.

Terdahulu, penduduk yang sedang mengesan mangsa lain di celah runtuhan di tepi pantai terdengar tangisan kanak-kanak itu.

Hasil pencarian dilakukan membawa kepada penemuan Muhammad Abqari Azzam yang kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran untuk diberikan rawatan lanjut.

Sepupu kanak-kanak malang berkenaan, Tiara Balgis Bangsah,18, ketika dihubungi memaklumkan Muhammad Abqari Azzam kini dalam keadaan stabil dan kanak-kanak itu cuma luka di kaki serta beberapa bahagian anggota badannya.

Tiara Balgis berkata, dia dan Muhammad Abqari serta beberapa lagi ahli keluarga lain tinggal bersama nenek mereka di sebuah rumah di Jalan Raden Saleh di Kota Palu, terletak berhampiran pantai.

Katanya, pada hari gempa melanda Jumaat lalu Muhammad Abqari Azzam bersama nenek mereka keluar bersiar-siar di tepi pantai sambil membeli makanan ringan manakala dia berada di rumah.

“Jarak mereka dengan rumah tak jauh dan pada masa yang sama saya melihat ombak besar berwarna hitam menuju ke pantai. Jadi dia dan nenek yang ketakutan terus berlari ke rumah untuk menyelamatkan diri.

“Dalam sekelip mata ombak besar itu membadai rumah nenek sampai hancur, mujur saya dan ahli keluarga lain sempat menyelamatkan diri. Tapi Muhammad Abqari Azzam dan nenek hilang entah ke mana hingga kami sangka mereka sudah mati,” katanya.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarga lain keluar untuk mencari Muhammad Abqari Azzam dan neneknya yang disangka terperangkap di celah runtuhan meskipun ketika itu kejiranan mereka masih dibanjiri air laut akibat tsunami.

Katanya, ketika itu mereka menyangka Muhammad Abqari Azzam sudah meninggal dunia berikutan ombak membadai kejiranan mereka amat besar.

“Kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya, apabila penduduk menemui Muhammad Abqari Azzam dalam keadaan selamat.

“Namun kami berasa amat sedih kerana nenek ditemui sudah meninggal dunia beberapa meter dari lokasi Muhammad Abqari Azzam terapung. Jenazah nenek kami bawa pulang untuk dikebumikan,” katanya.

Remaja itu berkata, penemuan Muhammad Abqari Azzam yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu memberi semangat kepada penduduk tempatan untuk terus mencari mangsa lain yang hilang kerana mereka mungkin masih hidup.

“Hampir semua kediaman berhampiran pantai musnah dan kami sekarang hanya berteduh di tepi jalan kerana bimbang berlaku tsunami susulan.

“Talian telefon hanya berfungsi pada waktu tertentu saja manakala bekalan makanan dan air begitu terhad sehingga terpaksa berebut atau menjarah (mencuri) daripada kedai berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:28 PM