KADI daerah Pekan Ahmad Nizam Abdul Manan mengislamkan tiga wanita Orang Asli di Kampung Batu Gong. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my


IMPIAN wanita Orang Asli untuk memeluk Islam seterusnya mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan akhirnya menjadi kenyataan apabila dia melafazkan syahadah sambil disaksikan keluarga dan penduduk Kampung Batu Gong, dekat Pekan.

Pada majlis yang dianjurkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) cawangan Pekan itu, seramai tiga wanita Orang Asli suku kaum Jakun melafazkan syahadah dihadapan Kadi Daerah, Ahmad Nizam Abdul Manan.

Suriati Detheng, 28, berkata, sebelum ini hatinya sudah terbuka pada Islam, namun masih belum berpeluang menjadi muslimah sejati kerana beberapa sebab termasuk tidak mendapat restu keluarga.

“Kini impian saya menjadi kenyataan apabila sah menjadi umat Islam yang disaksikan sendiri kadi dan pegawai pejabat agama, tugas seterusnya selepas ini ialah mendalami ilmu agama secara berperingkat.

“Saya berharap bakal suami dapat membimbing saya menjadi muslimah yang taat kepada ajaran Islam seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan belajar agama,” katanya.

Suriati berkata demikian pada Program Ziarah Dakwah, Pemantapan Aqidah dan Walimatulurus yang Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) daerah Pekan Datuk Arifin Daut di Kampung Batu Gong, di sini, hari ini.

Suriati yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertama berkata, dia bersyukur laluan untuk memeluk Islam berlaku begitu mudah apabila mendapat bantuan MUIP cawangan Pekan dan PERKIM daerah Pekan yang sentiasa berusaha membantu bakal saudara baru,” katanya dari Kampung Batu Gong, di sini.

Saminah Kadir, 44, dari Kampung Dusun, dekat sini berkata, dia memeluk Islam secara rela hati selepas melihat ramai jiran dan penduduk kampung berbuat demikian hampir setiap tahun.

Dia yang mempunyai seorang cucu itu berkata, dia akan berusaha mendalami ilmu agama seterusnya dapat beramal terutama menunaikan solat lima waktu yang menjadi kewajipan semua umat Islam.

“Selepas ini saya akan terus belajar agama dengan guru di kampung, ilmu yang dimiliki menjadi panduan meneruskan kehidupan sebagai muslimah,” katanya yang mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, tiga saudara baru berkenaan layak menerima bantuan yang disediakan MUIP sebagai sokongan kepada mereka.

“Usaha mengislamkan Orang Asli dilakukan secara berterusan oleh MUIP dengan sokongan

pelbagai agensi lain, selain itu usaha memberi pendidikan agama dilakukan oleh penggerak secara berterusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:40 PM