LOKASI kejadian enam anggota bomba lemas di lombong Taman Putra Perdana berdekatan D’Islands, Puchong. FOTO Rosdan Wahid
Fazrik Kamarudin dan Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki hampir lemas ketika menyelam untuk menyelamatkan Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang masih hilang di lombong Taman Putra Perdana berhampiran D’Islands, Puchong, semalam.

Khairul Anwar Mohd Salleh, 47, yang juga jiran mangsa berkata, dia bersama rakan lelaki serta bapa mangsa Mohammad Azzam Naim, 46, bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan jam 5 petang.

“Saya mengambil keputusan untuk menyelam bagi mencari mangsa. Pada mulanya saya turun tanpa tali, namun naik semula kerana arus air deras.

“Rakan saya kemudian memasang tali sebelum saya turun semula untuk menyelam dan tiba-tiba ditarik pusaran air serta hampir lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, rakannya bertindak menarik dia keluar disebabkan arus deras walaupun cuaca ketika itu tidak hujan.

“Ketika itu, ada tujuh orang awam di lokasi kejadian termasuk kami. Namun, kami bertindak menyelam dulu sementara menunggu pihak bomba datang.

“Ketika itu, memang tiada orang memancing di kawasan berkenaan,” katanya yang mengharapkan mangsa ditemui segera.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 5:41 PM