Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


“SAYA tak pernah sentuh benda (dadah) itu, malah saya tidak merokok,” kata pelakon Intan Najuwa Abd Wahid yang terkejut apabila namanya terpampang di beberapa portal berita kerana dikehendaki polis.

Intan Najuwa yang terkenal dalam drama Kekasih Paksa Rela berkata, berita yang keluar di beberapa media seolah-olah menggambarkan dia seorang penjenayah yang dikehendaki polis.

“Saya masih di Malaysia, ada di rumah, tidak pergi ke mana-mana pun. Saya diminta untuk menjadi saksi kepada kes penyalahgunaan dadah membabitkan seorang rakan kira-kira dua tahun lalu.

“Ketika itu pihak polis memaklumkan saya mempunyai pilihan sama ada bersetuju untuk menjadi saksi atau sebaliknya.

“Jadi saya memilih untuk tidak memanjangkan cerita, selain tidak bersetuju untuk menjadi saksi memandangkan saya tidak tahu mengenai kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Intan Najuwa, dia sangat terkejut apabila salah seorang wartawan dari media tempatan menghubunginya dan memaklumkan perkara itu sebelum memeriksa beberapa laporan berita.

“Saya dipanggil untuk menjadi saksi di mahkamah dan bukannya dikehendaki polis kerana melakukan jenayah. Saya tidak terbabit langsung dengan kes penyalahgunaan dadah, tak sentuh langsung,” katanya.

Katanya, dia akan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk hadir ke mahkamah bagi membersihkan namanya dan tidak mahu memanjangkan perkara itu.

Berita berkaitan

Polis cari pelakon Intan Najuwa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 6:42 PM