SEBAHAGIAN ahli keluarga dan rakan Muhammad Ilham Fahmy menunggu di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang, hari ini, bagi menunggu jenazah selesai dibedah siasat. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


ORANG ramai diminta berhenti menyalahkan mana-mana pihak dalam tragedi mengorbankan enam anggota bomba ketika menyelamatkan seorang remaja lelaki yang lemas di lombong Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Island di Puchong, semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata, kejadian berkenaan adalah kemalangan dan di luar bidang kuasa semua pihak.

“Tohmahan dan dakwaan daripada sesetengah individu yang menuding jari kepada pihak lain atas apa yang berlaku dalam tragedi ini tidak sepatutnya berlaku.

“Anggota bomba terbabit terkorban ketika melaksanakan tugas mereka menyelamatkan mangsa dan apa yang berlaku adalah di luar kawalan mana-mana pihak.

“Sepatutnya kita perlu mengorak langkah dengan mengkaji kelemahan dari setiap aspek bagi mengelak tragedi sama berulang semula,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang, selepas melawat ahli keluarga remaja lemas, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, di Serdang, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga mangsa selepas semua urusan selesai.

“Buat masa ini, kami belum memuktamadkan apa bantuan akan dihulurkan kepada mangsa. Namun, bantuan akan diberikan kepada semua mangsa yang terbabit dalam tragedi ini.

“Bagi enam anggota bomba yang terkorban dalam tragedi ini, mereka adalah ‘unsung hero’ (wira yang tidak didendang),” katanya yang meluangkan kira-kira dua jam bersama ahli keluarga remaja berkenaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Azzam Naim, 46, memberitahu pihaknya dimaklumkan pihak hospital bahawa proses bedah siasat dijangka selesai pada 12 tengah malam ini.

Beliau berkata, sebaik selesai bedah siasat, jenazah akan dibawa ke Masjid Taman Putra Perdana untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di lokasi sama.

“Saya mahu urusan pengebumian jenazah dijalankan secepat mungkin bagi memudahkan urusan semua pihak,” katanya.

NSTP melaporkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditemui lemas ketika melakukan operasi SAR Muhammad Ilham Fahmy di lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 9:37 PM