Aizat Sharif


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas daging lembu sejuk beku dan minuman keras bernilai RM1.5 juta Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, Selangor, Isnin lalu.

Rampasan itu dibuat susulan penahanan lori kontena dipandu lelaki yang sengaja memandu keluar dari kawasan berkenaan tanpa melalui pemeriksaan sah JKDM.

Lori terbabit ditahan pada 3 petang kira-kira 20 meter dari pelabuhan terbabit selepas pemandu hanya mengikrarkan muatan yang dibawa dalam kontena itu adalah daging lembu sejuk beku seberat 14.4 tan menggunakan pas laluan atau ‘gate pass’.

Pemandu lori berkenaan tidak mengisi Borang Kastam 1 yang lazimnya digunakan untuk mengikrarkan barangan import yang akan dibawa keluar dari kawasan pelabuhan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, dengan menggunakan pas laluan itu, suspek berjaya keluar dari kawasan kawalan kastam tanpa membayar cukai terhadap barang yang dibawa itu.

“Ini adalah satu kesalahan yang serius membabitkan lori kontena cuba elak dari pemeriksaan kastam serta pembayaran cukai terhadap kargo yang dibawa.

“Menerusi ‘Ops Gempur’ yang sedang dijalankan oleh kami, sepasukan anggota Penguatkuasaan Kastam dari Cawangan Alor Setar, Kedah diarahkan untuk mengekori lori kontena berkenaan sebaik dia keluar dari pelabuhan itu.

“Anggota kastam yang mengekori lori kontena itu bagaimanapun tidak menyedari mereka turut diperhatikan oleh ‘tonto’ yang dipercayai ‘mengawal’ perjalanan lori kontena itu.

“Lori kontena yang diekori anggota kastam itu kemudian berhenti di satu kawasan di Taman Perindustrian Pandamaran yang terletak 20 kilometer dari kawasan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang yang mana pemandu lori itu yang menyedari dirinya diekori bertindak melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat JKDM Kedah, di Alor Setar, hari ini.

Zulkifli berkata, pemeriksaan selanjutnya menemui sejumlah daging lembu sejuk beku dan minuman keras berjenama Scarletts Gold Premium yang tersimpan dalam kontena berkenaan.

“Pemeriksaan anggota kita berjaya merampas sebanyak 13,152 botol minuman keras membabitkan anggaran nilai sebanyak RM1.48 juta dan daging lembu sejuk beku sebanyak 273 kotak seberat 5,106 kilogram yang bernilai RM72,840.

“Bekalan minuman keras ini dipercayai dibawa dari India manakala bekalan daging lembu sejuk beku itu pula dari Brazil,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai ‘tonto’ yang mengawasi kargo lori kontena itu di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal kita pihak sindiket sengaja meletakkan kotak daging lembu sejuk beku itu di bahagian hadapan pintu kontena, manakala minuman keras diletakkan di bahagian belakang kontena itu.

“Pemandu lori kontena itu pula sengaja mendakwa muatan yang dibawa sebanyak 14.4 tan supaya ia nampak seperti menepati kandungan muatan kontena berkenaan,” katanya.

Katanya, keseluruhan rampasan adalah bernilai RM1.5 juta dengan anggaran cukai yang terbabit sebanyak RM893,071.20.

“Suspek kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan.

“Rampasan ini adalah yang terbesar dicatatkan oleh JKDM Kedah pada tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 11:40 PM
ZULKIFLI (dua kanan) bersama Pengarah Kastam Negeri Kedah, Datuk Johari Alifiah (kanan) menunjukkan daging beku yang dirampas bersama minuman keras. FOTO Amran Hamid