KEMALANGAN berpunca daripada lembu berkeliaran di tengah jalan dikongsi FB Orang Kota Tinggi, kelmarin. FOTO tular di FB.
Mohd Sabran Md Sani


KEHADIRAN kumpulan lembu berkeliaran di tengah jalan di sekitar Kota Tinggi mengancam keselamatan pengguna jalan raya sehingga beberapa laluan di kawasan itu dianggap ‘perangkap maut’ terutama pada waktu malam.

Berikutan jumlah melebihi 10 ekor dalam satu masa, kehadiran kumpulan haiwan itu merisaukan banyak pihak dan lebih membahayakan, keadaan jalan gelap akibat kemudahan lampu jalan terhad turut menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan.

Dalam kejadian terbaru pada 8 malam Isnin lalu, seorang lelaki terselamat selepas Perodua Myvi dipandunya berlanggar dengan lembu di FELDA Sungai Mas.

Kejadian itu kemudiannya tular di media sosial apabila pemilik akaun Facebook (FB) Muhamad Firdaus berkongsi pengalaman mencemaskan itu.

“Hati-hati memandu. Kemalangan berhampiran jambatan Sungai Mas ke Lok Heng dalam 8 (malam) tadi,” katanya

Beliau turut mencadangkan supaya semua pemilik lembu berikrar jika lembu mereka didapati berkeliaran sehingga mengancam keselamatan orang ramai, lembu akan dirampas dan disembelih sebelum dagingnya diagihkan kepada penduduk setempat.

Turut berkongsi pendapat adalah Melon Atim yang meminta pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan seperti itu.

“Jalan ini memang banyak lembu, kena berhati-hati kerana banyak lembu terlepas. Saya mencadangkan kepada pemilik lembu memasang ‘reflector’ pada haiwan peliharaan mereka bagi memudahkan pengguna jalan raya melihat kehadirannya pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PBT Pengerang, Bukhari Abd Rahman, berkata setakat ini pihaknya hanya menerima satu aduan awam membabitkan lembu berkeliaran selepas berlaku kemalangan menyebabkan seekor lembu mati di laluan Sungai Rengit ke Kota Tinggi, lima bulan lalu.

Katanya, bagi membantu menyelesaikan isu itu pihaknya menggunakan pendekatan mendidik penternak dengan menasihatkan mereka memastikan lembu peliharaan tidak dibiarkan berkeliaran.

“Pada masa sama, kami akan membangkitkan isu ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Daerah setiap bulan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kami mempunyai kuasa mengikut Akta Kerajaan Tempatan 171 (Kacau Ganggu) dengan menyita lembu dan mengenakan kompaun RM500 bagi setiap seekor haiwan itu.

“Jika tidak dituntut haiwan itu akan disembelih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 1:00 AM