Rizanizam Abdul Hamid dan Veena Babulal

Port Dickson: Menepati janjinya untuk menyediakan program khas pendidikan buat murid dan pelajar di daerah ini, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melancarkan tuisyen dalam talian secara percuma, pdtuition.com.

Ketua Umum PKR itu berkata, program berkenaan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk dibangunkan bersama guru, rakan, persatuan ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai antara pengisian memajukan Port Dickson.

“Saya harap program ini dapat dimanfaatkan dan dipraktikkan keberkesanannya dalam kalangan penduduk Port Dickson.

“Jika saya diberi mandat oleh pengundi Port Dickson, saya akan minta kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mendapatkan maklumat keberkesanan program ini dalam tempoh enam bulan,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 300 warga pendidik pada majlis pelancaran tuisyen percuma itu di sini.


ANWAR (tengah) merasmikan pelancaran Program E-Tuisyen Percuma Port Dickson, semalam.

Hadir sama, anaknya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Rahman Arshad dan bekas Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Pada 28 September lalu, Anwar ketika berucap merasmikan Bilik Gerakan PKR bagi PRK Parlimen Port Dickson, berjanji perkara pertama akan diumumkan pada kempen PRK ialah berkaitan program khas pendidikan sekolah menengah.

Beliau berjanji untuk mendedahkannya dalam tempoh seminggu.

Melalui portal dalam talian itu, murid bermula tahun satu hingga pelajar tingkatan lima boleh mengakses laman berkenaan secara percuma untuk mempelajari jenis kursus yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 10:57 AM