MOHD Yusoff (kanan) menunjukan rampasan rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM1.42 juta dalam satu serbuan di Pantai Tanjung Kelisa, Kota Tinggi.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor mematahkan sindiket penyeludupan rokok selepas merampas 137,900 peket rokok seludup bernilai RM1.42 juta pagi kelmarin.

Ia dilakukan dalam Ops Landai Khas PPM W2 Johor di Persisiran Pantai Tanjung Kelisa, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, rampasan itu hasil serbuan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Dua bersama Task Force Markas Operasi PPM Tampoi pada jam 10.15 pagi.

“Dalam serbuan ini, PPM menahan sebuah lori jenis HINO yang ditutupi kanvas dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu tetapi pemandu lori terbabit terus memecut kenderaannya,” katanya di Pusat Latihan Polis Marin, Pengkalan Rinting, Tampoi semalam.

Beliau berkata, selepas 25 minit, pihaknya menemui lori itu dengan keadaan enjin masih hidup ditinggalkan di tepi hutan.

“Pemandu didapati meloloskan diri di dalam hutan dan usaha mengesan pemandu itu bagaimanapun gagal kerana keadaan kawasan hutan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, sejumlah kotak berisi rokok tidak sah dipercayai diseludup memasuki negara ini diletakkan di belakang lori itu,” katanya.

Katanya, hasil rampasan dibawa ke Markas PPM W2 Tampoi untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut bagi mengesan mereka yang terbabit menyeludup rokok.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 217 kotak rokok kretek berjenama LA Merah, Hijau dan Bold mengandungi 137,900 peket dengan semuanya dianggarkan bernilai RM1.42 juta.

“Polis Marin Johor turut merampas sebuah lori tiga tan jenis HINO dan meminta pemiliknya tampil membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan membawa barang yang dilarang.

Dalam perkembangan sama katanya, PPM W2 Johor sudah melaksanakan 11 kes penyeludupan rokok membabitkan 574,890 peket bernilai RM5.74 juta sejak awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 11:15 AM