JABATAN Penguatkuasaan DBKL menyerbu enam premis rumah urut yang dikesan menawarkan khidmat seks di Jalan Langkawi, Setapak. FOTO NSTP


TERDAPAT enam pusat urut yang menawarkan khidmat seks dalam satu kawasan, dikesan di kawasan Platinum Walk, Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur, ketika serbuan dijalankan pihak berkuasa.

Meskipun sudah beberapa kali diserbu pihak berkuasa, enam pusat urut yang dikesan menjalankan aktiviti persundalan itu masih keras kepala meneruskan operasi mereka tanpa sebarang lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 4 empat petang semalam itu, hampir 20 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditemui di premis berkenaan selain beberapa peralatan seks.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, serbuan dengan kekuatan seramai 50 anggota penguat kuasa DBKL itu, tindakan susulan daripada operasi terdahulu.

“Semua pusat urut yang diserbu hari ini (semalam) pernah dikenakan tindakan sita dan diarahkan tutup sebelum ini. Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati mereka masih meneruskan operasi.

“Kami percaya pemilik premis yang terbabit mampu menjana pendapatan lumayan setiap bulan kerana sanggup melanggar arahan penutupan,” katanya ketika sidang akhbar, semalam.

Beliau berkata, semua premis berkenaan diarahkan tutup serta-merta kerana didapati melanggar syarat lesen perniagaan, malah pihaknya turut menyita barangan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan kondom.

“Kami memberi notis penutupan kepada pengusaha premis dan pihak kami juga bertindak merobohkan struktur hadangan bilik yang dibina secara haram,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap wanita warga asing berkenaan kerana di luar bidang kuasa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 4:39 PM