BAYI berkenaan. FOTO Ihsan JKM
Mary Victoria Dass

SEORANG wanita Indonesia bertindak melahirkan anak di rumah dengan kelahiran bayinya disambut suami, di Johor Bahru, bulan lalu.

Bagaimanapun, pasangan itu menyerahkan anaknya itu kepada kenalan mereka dan ibunya kembali semula ke Indonesia beberapa hari kemudian.

Kisah itu terbongkar apabila penjaga bayi berkenaan membawanya ke sebuah klinik bagi mendapatkan suntikan imunisasi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, wanita warga Indonesia berkenaan dipercayai melahirkan cahaya matanya, pada 19 Ogos lalu.

Beliau berkata, pasangan berusia 30-an itu sanggup mengambil risiko dengan memotong sendiri tali pusat bayi perempuan itu.

“Difahamkan, beberapa hari selepas melahirkan anak, wanita yang masih dalam pantang itu bertindak melarikan diri ke negaranya, Indonesia.

“Bapa bayi berkenaan yang tidak dikenal pasti taraf warga negara pula bertindak menyerahkan bayi itu kepada kenalan sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, pengurusan klinik meragui penjagaan bayi itu kemudian merujuknya kepada pihak berkuasa.

Katanya, Jabatan Sosial Kerja HSA merujuk kes itu kepada JKM pada 4 September lalu.

“Kami difahamkan ibu bapa bayi berkenaan sudah bernikah di Thailand, namun tiada sebarang dokumen pengesahan.

“Penjaga kanak-kanak itu menyatakan sebelum menyerahkan bayi, bapanya membuat laporan polis. Namun, tiada urusan dilakukan berkaitan penyerahan bayi secara sah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, mengikut Subseksyen 25(2) Akta Kanak Kanak 2001, Mahkamah Kanak-Kanak memerintahkan bayi itu ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Mini Ulu Tiram, Johor.

“JKM masih menjalankan siasatan berkaitan kes itu dan meminta bantuan orang ramai mengesan bapa atau warisnya. Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 07-2232606,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 7:11 PM