Wartawan dari Media Prima Berhad (dari kiri), Wan Eizzul Islam (NTV7), Nur Farah Nabilah (NTV7), Osman Lisut (BH) dan Aziezul (NST) bersama hadiah masing-masing pada Majlis Anugerah Media Kesihatan 2018 di Petaling Jaya, hari ini. FOTO Rosdan Wahid.
Nor Afzan Mohamad Yusof


WARTAWAN Berita Harian (BH) menang Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik 2018 (Akhbar Bahasa Melayu) menerusi rencana bertajuk Madu Diabetes.

Menerusi kemenangan itu, wartawan Osman Lisut, Rashiqah Ilmi Abdul Rahim dan Mohd Zulkifli Zainuddin membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan pada malam Anugerah Media Kesihatan di Petaling Jaya, hari ini.

Bagi Anugerah Media Kesihatan TV, NTV7 menang kategori Bahasa Inggeris menerusi Wan Eizzul Islam Wan Zulkifli dan Alvin Lai Yee Weng (Bahasa Cina) dan masing-masing membawa pulang RM3,000.

Manakala saguhati bagi kategori TV, wartawan NTV7, Nur Farah Nabilah Mohamad Wazer menang kategori Bahasa Inggeris dan Azlina Aris (Bahasa Cina) yang masing-masing membawa pulang RM1,000.

Kategori Infografik dimenangi Aziezul Abu Bakar dari New Straits Times (NST) yang membawa pulang RM2,000.

Wartawan NST, Tharanya Arumugam turut memenangi hadiah sagu hati bagi artikel berjudul Campaigns Having Impact On The Young yang membawa pulang wang tunai RM500.

Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan majlis dirasmikan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Tahun ini, sebanyak 265 penyertaan diterima daripada pelbagai media cetak, elektronik dan media sosial yang membabitkan 20 kategori.

Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam ucapan perasmian, berkata media memainkan peranan penting membantu maklumat tepat kepada orang ramai berkaitan isu kesihatan.

“Majlis ini sebagai tanda terima kasih kementerian kepada pihak media yang selama ini memberi sokongan padu dan tanpa jemu terutama terhadap program dan permasalahan kesihatan.

“Menyampaikan maklumat melalui media masa untuk memberi penjelasan betul dan tepat agar rakyat dapat memahami apa jua masalah yang mungkin timbul adalah cabaran masa kini.

“Namun, kupasan relevan dan konsisten sepanjang tahun oleh rakan media terhadap usaha kementerian dalam memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan yang terbaik amatlah dihargai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 11:53 PM