Mary Victoria Dass


KERAJAAN negeri merancang menutup 10 pulau di Mersing kepada pengunjung antara pertengahan atau hujung bulan ini sebagai persediaan awal menghadapi musim tengkujuh, bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liew Cai Tung berkata, bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada laporan kaji cuaca terlebih dahulu.

“Kebiasaannya semua pulau di daerah Mersing ditutup antara pertengahan atau hujung bulan ini, tetapi bergantung kepada keadaan cuaca.

“Sebanyak 10 pulau ini dijangka ditutup sehingga Mac tahun depan, namun penutupan pulau di Mersing tidak termasuk pulau persendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program Car Free Day, Johor Bahru (JB) Wake Up dan melancarkan Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita di perkarangan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman.

Sementara itu, Cai Tung berkata, pihaknya mengambil peluang mempromosikan Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita pada program berkenaan.

Menurutnya, ia bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan keganasan terhadap wanita.

“Sebenarnya program ini akan dijalankan selama tiga bulan iaitu bermula bulan ini hingga Disember depan oleh Jabatan Pembangunan Wanita negeri Johor.

“Bukan setakat sepanjang kempen dijalankan, sebaliknya kesedaran dalam kalangan masyarakat secara berterusan amat perlu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:18 PM