AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. FOTO Abd Rahim Rahmat
Suhaila Shahrul Annuar


ANAK lelaki kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, dibebaskan awal pagi hari ini.

Difahamkan, lelaki berumur 24 tahun itu dibebaskan kira-kira 2 pagi selepas selesai memberi keterangan kepada SPRM.

Semalam, media melaporkan lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Dia ditahan pada 12 tengah hari semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan SPRM mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009.

Semalam, sumber memberitahu lelaki berkenaan dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ dalam urusan perpindahan wang rasuah membabitkan syarikat kontraktor.

Setakat ini lima individu ditahan SPRM sejak 25 September lalu termasuk Abdul Azeez bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:23 PM