ANGGOTA Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam (dari kiri) Mohd Rodzi Ramli, Syazwan Md Radzi, Che Ahmad Kilau, Shah Nizam Yusuf dan Mohamed Khazrem Kamaruzzaman melihat antara gambar kenangan terakhir bersama Allahyarham Adnan Othman. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


TRAGEDI kematian enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam operasi mencari remaja lemas di Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lalu bukan saja memberi kesan kepada rakan sekerja.

Malah, pemergian Allahyarham Adnan Othman, 33, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, turut dirasai keluarga rakan baiknya, Syazwan Md Radzi, 32, berikutan keakraban mereka.

Syazwan yang ditemui NSTP berkata, apabila mendapat tahu mengenai kejadian itu, beliau menangis begitu juga dengan isterinya yang sememangnya akrab dengan isteri Adnan, Norshamiza Salleh, 32.

"Apabila dapat tahu berita itu, bukan saya saja yang menangis, isteri saya, Lisa, turut menangis kerana keluarga kami sangat rapat. Saya rapat dengan Nan, isteri saya dengan isteri Nan juga rapat malah anak-anak kami juga berkawan sebab usia mereka hampir sebaya," katanya.

Syazwan Md Radzi, 32, yang bertugas di Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Shah Alam berkata, berbeza unit dan pasukan tidak menghalang mereka berkawan rapat umpama 'cubit paha kiri, paha kanan terasa.'

"Saya dalam pasukan A, arwah pasukan B. Saya habis waktu kerja 8 pagi itu. Arwah masuk untuk 8 pagi hingga 8 malam. Memang kalau nampak saya, Nan terus jerit: 'Wannnnnnnnnn.....!' Dengar suara dia jerit kita tahu dia ceria.

"Orang tengok kami seperti gurau kasar tetapi itu cara kemesraan kami. Sertai bomba tahun sama, kenal dari zaman bujang, bertunang, berkahwin, isteri dan anak juga berkawan," katanya.

Adnan adalah antara enam anggota PPDA yang maut ketika operasi mencari seorang remaja lemas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong Rabu lalu.

Syazwan berkata, pada malam kejadian beliau menerima maklumat enam anggota PPDA Selangor lemas termasuk Cikgu Nan (panggilan dalam kalangan anggota junior) dan Muhammad Hifdzul Malik, 25.

"Terkejut saya dengan berita itu, sebelum saya menerima pelbagai mesej berkaitan tetapi saya cuba bertenang. Saya kemudian meminta isteri saya menghubungi Miza (isteri Adnan) sekadar bertanya seperti biasa dan tidak memaklumkan sehingga saya mendapat pengesahan yang sebenar.

"Kebetulan ketika itu, Pasukan C yang memulakan tugas (pertukaran syif) dalam perjalananan ke lokasi dari balai ini.

"Walaupun sudah tahu, saya tetap mahukan kepastian sebelum memberitahu perkara sebenar kepada isteri Nan kerana beliau sama seperti Nan, sahabat yang rapat dan kita percayai.

"Jadi, saya minta tolong Rodzi (rakan rapat Nan dari Pasukan C, Mohd Rodzi Ramli) sahkan dan tengok betul-betul. Kalau nampak Nan, baru saya beri tahu kepada isterinya. Kawan-kawan kemudian sahkan memang Cikgu Nan yang meninggal," katanya.

Syazwan berkata, ketika hendak menghubungi isteri Adnan, Norshamiza terlebih dahulu menghantar satu 'screenshot' yang sudah tersebar mengenai enam anggota PPDA mati lemas dan beliau berharap berita itu tidak benar.

"Kemudian kami hubungi Miza meminta supaya beliau banyakkan berdoa namun beliau memaklumkan sedang bersiap ke balai pada 10.30 malam.

"Kebetulan pada masa itu, saya tidak bekerja kerana tugas tamat 8 pagi.

"Apabila mendapat pengesahan dan jenazah dibawa ke Hospital Serdang, saya juga ke sana dan meminta isteri saya menemani dan menenangkan Miza sepanjang di hospital," katanya.

Syazwan berkata, beliau reda dengan pemergian Adnan kerana itu lumrah kehidupan kerana setiap yang hidup akan mati.

"Nak ikutkan perasaan sedih, memang semua sedih sama ada yang rapat atau tidak dengan arwah, memang amat terasa kehilangan Nan kerana beliau seorang yang periang, ceria, suka sakat kawan, suka buat kawan-kawan gelak. Bukan sahaja dalam kalangan kami, dengan junior pun sama.

"Kalau ulang tahun kelahiran rakan-rakan di sini, Nan memang akan sediakan tepung untuk kenakan kawan-kawan. Kami akan merindui Nan," katanya.

Syazwan berkata, walaupun Adnan sudah tiada, beliau, isteri dan rakan sekerja yang lain akan terus memberi sokongan kepada Norshamiza untuk melalui hari-hari mendatang.

Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada isterinya untuk mereka terus berhubung dan bertanya khabar Norshamiza dan anak-anaknya dan terus bershabat sampai bila-bila.

"Banyak kenangan bersama Nan, kami banyak buat aktiviti bersama. Nan insan terpilih... pergi sebagai syahid. Tak apa lah, biar Nan berehat di sana, selesai sudah urusan dunia dia," katanya.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 5:34 PM