ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat Mustapa selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang dalam kemalangan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di Sungai Siput, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Farah Suhaidah Othman


LELAKI warga emas maut manakala dua cedera selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang selepas dipercayai mengelak lembu melintas dalam kemalangan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di Sungai Siput, hari ini.

Dalam kejadian 4.25 petang itu, Mustapa Sahad, 69, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak lelakinya yang memandu kereta Proton Saga, Muszaffar, 26, dan penumpang kereta sama, Amirul Putra Annuar Naim Abdullah, 10, cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menghala ke Chemor, Ipoh.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu anak mangsa dipercayai cuba mengelak daripada melanggar seekor lembu yang secara tiba-tiba melintas jalan.

Katanya, susulan itu, kereta berkenaan gagal dikawal sebelum terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

“Penumpang di tempat duduk hadapan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta cedera di bahagian tangan, muka dan kaki.

“Kanak-kanak berusia 10 tahun iaitu penumpang tempat duduk belakang cedera ringan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemui lembu dikatakan mangsa dan pemeriksaan mendapati kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian badan.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 10:30 PM