ANGGOTA bomba membantu mangsa yang terselamat selepas menemui pesawat Cessna yang terhempas di Empangan Batu, Hutan Sungai Pamah dekat Hulu Yam.
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan lagi sekadar wira sebaliknya bagi sesetengah mangsa mereka ini adalah ‘penyambung nyawa’ kerana sanggup membahayakan diri sendiri untuk menyelamatkan orang lain.

Juruterbang, Syed Haidhar Syed Zulkifli, 29, yang menempuh detik cemas selepas pesawat ringan Cessna 172 dinaiki terhempas ketika mengelak daripada merempuh helang di Empangan Batu, 11 Januari 2014, menjadi antara mangsa diselamatkan wira tidak didendang itu.

Dalam insiden jam 5 petang itu, pesawat ringan dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor dinaikinya bersama rakan Shaiful Zafiq Razali, 28, dikendalikan juruterbang Saiful Farid Amri, 25, terjunam lalu terperosok di celah pokok buluh di kawasan empangan terbabit.

Syed Haidhar berkata, tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan mereka apabila diselamatkan sepasukan bomba.

“Kami semua bersyukur, kerana sebelum itu memang tak pasti lokasi pesawat akan dijumpai pasukan penyelamat atau tidak dan apakah kami akan keluar dengan selamat.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah anggota JBPM bersama Pasukan Khas Penyelamat dan Bencana Malaysia (SMART) menjalankan tugas dengan baik sampai terasa macam ahli keluarga sendiri datang selamatkan kami.

“Kalau mereka lambat membantu, tiada jawapan untuk itu dan tidak boleh dibayangkan,” katanya.

Katanya, hanya Allah yang mampu membalas jasa semua terbabit dalam operasi itu terutama anggota JBPM.

Menceritakan detik cemas itu Syed Haidhar berkata, pasukan penyelamat menghidupkan unggun api sebaik menemui mereka yang kesejukan akibat hujan renyai.

“Anggota penyelamat kemudian mengusung kami yang cedera keluar merentasi hutan. Pihak JBPM menemui kami pada jam 6 petang namun hanya berjaya keluar 8 pagi keesokannya,” katanya.

Menurutnya, sebaik membaca laporan mengenai tragedi enam wira JBPM yang gugur ketika operasi mencari seorang remaja lemas dia berasa amat sedih.

“Jujurnya saya menitiskan air mata selepas melihat video kejadian detik mereka lemas. Sebagai orang yang pernah diselamatkan JBPM saya cukup terkesan dengan tragedi ini, apatah lagi bila ada netizen di Facebook memberikan komen negatif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:01 AM