Siti Nur Mas Erah Amran

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memohon maaf kepada pengguna lebuh raya yang terperangkap dalam kesesakan di laluan terowong Menora menuju Kuala Kangsar susulan kemalangan maut yang menyebabkan lima maut, petang semalam.

Kesesakan yang berlaku adalah disebabkan oleh kerja-kerja memadam kebakaran, menyelamat, siasatan, pengalihan serta pembersihan laluan yang dijalankan oleh pengendali konsesi lebuh raya itu bersama agensi berkaitan antaranya syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL), pihak bomba, polis serta kontraktor.

Katanya, kerja-kerja pembersihan luar biasa perlu dilakukan kerana kemalangan itu membabitkan sebuah treler yang membawa serbuk bijih besi dan sebuah kereta di kilometer 255.6 arah Utara.

"Serbuk bijih besi (amang) terbabit turut terbakar sebelum mencair dan mengeras sekali gus menyukarkan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan di lokasi berkenaan.

"Bagi membantu mengurangkan kesesakan, PLUS mengaktifkan laluan kontra sepanjang tiga kilometer dan maklumat berhubung kesesakan turut dihebahkan menerusi papan tanda elektronik di lokasi-lokasi strategik selain laman rasmi Twitter PLUSTrafik.

"PLUS memahami kesukaran dan ketidakselesaan yang dialami oleh pengguna yang terperangkap di dalam kejadian ini dan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, PLUS berkata, kira-kira 55 petugas termasuk anggota bomba dan penyelamat, pihak polis serta kontraktor lebuh raya PLUS termasuk lapan jentera terbabit dalam kerja-kerja menyelamat, pengalihan dan pembersihan di lokasi kemalangan.

"Semua kerja di lokasi tamat kira-kira jam 2:20 pagi tadi dan semua laluan dibuka seperti biasa tidak lama kemudian.

"PLUS ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan pengguna ketika kerja-kerja memadam kebakaran, pengalihan dan pembersihan dijalankan," katanya.

Berita berkaitan

Pemandu treler pernah disaman 13 kali

[UPDATE] Lima rentung sebenarnya...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:14 PM