ISA (tiga dari kiri) bersama Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (tiga dari kanan) bersama pengantin, Nur Farra Shuhada Md Zain (tengah).
ISA (tiga dari kiri) bersama Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (tiga dari kanan) bersama pengantin, Nur Farra Shuhada Md Zain (tengah).
Mohd Iskandar Ibrahim

Port Dickson: Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad yakin kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membantu kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak memberi kesan kepada mana-mana calon.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah atau berasa pelik dengan kedatangan Dr Mahathir.

“Saya tidak lihat kedatangan Dr Mahathir ke Port Dickson boleh menambah undi Anwar atau memberi ruang kepada rakyat untuk menambah undi saya. Kita lihat esok (hari ini) macam mana keadaannya.

“Bagi saya kehadiran Dr Mahathir bukan sesuatu yang pelik kerana beliau adalah Pengerusi Pakatan Harapan dan sudah tentu hadir membantu calon PH,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra di Kampung Sri Parit, Lukut di sini, semalam.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengesahkan turun berkempen di PRK Port Dickson bagi membantu Ketua Umum PKR itu hari ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu sekali gus menepis dakwaan kononnya hubungannya dengan bakal Presiden PKR merangkap bakal Perdana Menteri kelapan itu dingin.

Dalam pada itu, Isa berkata, pelbagai isu yang menyebabkan rakyat kurang berpuas hati dengan kerajaan ketika ini dilihat mampu memberi kelebihan kepadanya.

“Saya lihat mungkin ada kelebihan kerana dalam kalangan rakyat, ramai yang tidak berpuas hati dengan kerajaan namun kita lihatlah nanti macam mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:43 AM