LAPORAN Harian Metro, sebelum ini
Wartawan NSTP

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya, hari ini, membenarkan penggalian semula kubur Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan diteruskan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Ia selepas mahkamah menolak permohonan isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, melalui peguam LS Leonard, pagi ini, bagi menangguhkan penggalian semula kubur suaminya.

Difahamkan, proses penggalian semula kubur Nazrin sedang dijalankan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara.

Sehingga jam 10.40 pagi ini, polis masih menutup laluan masuk utama ke kawasan tanah perkuburan bagi membolehkan kerja-kerja penggalian berjalan lancar.

Pegawai dan anggota polis, bersama pihak Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilihat mula memasuki kawasan perkuburan sejak jam 8.30 pagi.

Turut kelihatan, memasuki kawasan ini adalah pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Penggalian semula berkenaan dijalankan atas permintaan abang kandung Nazrin, Dr Malek Hassan, supaya bedah siasat kedua dapat dilakukan.

Nazrin ditemui meninggal dunia di rumahnya di Mutiara Damansara pada Julai lalu sebelum polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Minta tangguh gali semula kubur CEO

Tetap syarat gali kubur CEO [METROTV]

Kubur CEO Cradle Fund digali semula... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:13 AM